bosswin168 slot gacor 2023
situs slot online
slot online
situs judi online
boswin168 slot online
agen slot bosswin168
bosswin168
slot bosswin168
mabar69
mabar69 slot online
mabar69 slot online
bosswin168
ronin86

Hari-hari persaingan antara Muhyiddin dan Anwar menuju takhta PM ke-10

Hari-hari persaingan antara Muhyiddin dan Anwar menuju takhta PM ke-10

Saya tidak berniat untuk mengungkit apa yang telah berlaku. Bak kata orang, rumah sudah siap, pahat janganlah berbunyi. Biarlah rumah yang sudah siap itu didiami dengan aman oleh penghuninya.

Namun, saya terbaca beberapa tulisan yang tersebar di media sosial yang saya dapati faktanya adalah tidak tepat. Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa fakta tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam proses pelantikan perdana menteri ke-10 dari pengalaman dan pengamatan kaca mata saya sendiri.

Pada 14 November 2022, saya telah dihubungi oleh speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan kepada saya beliau telah dipertanggungjawabkan untuk memudah cara proses pelantikan perdana menteri selepas PRU-15.

Beliau menjangkakan tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri dan dengan itu proses rundingan antara parti mesti dilaksanakan untuk memilih perdana menteri.

Pada malam 19 November 2022, iaitu malam keputusan PRU 15 diumumkan, speaker Dewan Rakyat sekali lagi menghubungi saya untuk memaklumkan proses yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Negara mengenai pelantikan perdana menteri.

Pada malam itu, SPR mengumumkan Perikatan Nasional (PN) telah memenangi 73 kerusi, tidak termasuk 4 kerusi Bersatu yang ditandingi menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah, yang menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi adalah 77 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 30 kerusi. Ini menjadikan Muhyiddin antara front runner calon perdana menteri.

Pada malam yang sama, saya menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada Datuk Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang menjelaskan secara terperinci proses pelantikan perdana menteri yang mesti dipatuhi. Saya jawab ringkas ucap terima kasih dan mengambil maklum.

Mesejnya saya bacakan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk makluman beliau. Kandungan mesej inilah yang Muhyiddin sebutkan secara umum semasa beliau membuat sidang media pada awal pagi 20 November 2022 setelah PN disahkan memenangi 73 kerusi Parlimen. Cuma beliau terkhilaf mengatakan telah menerima surat dari Istana Negara. Bukan surat, tetapi mesej WhatsApp.

Pada pagi 20 November 2022, saya menerima sepucuk surat daripada speaker Dewan Rakyat yang secara rasminya memperincikan proses pelantikan perdana menteri. Ketua-ketua parti diminta untuk mengemukakan surat sokongan kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang dinamakan sebagai perdana menteri Ke-10 dan menyenaraikan ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti tersebut yang memberikan sokongan. Bagi ahli Dewan Rakyat bebas, mereka diminta mengemukakan akuan berkanun.

Calon perdana menteri pula mesti mengemukakan akuan berkanun yang mengesahkan beliau telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri dan melampirkan surat dan dokumen yang berkaitan.

Semua surat dan dokumen ini mesti dihantar ke Istana Negara melalui emel, fax atau WhatsApp sebelum jam 2.00 petang, 21 November 2022.

Pada petang hari yang sama, saya menerima sepucuk surat lagi daripada speaker yang menghendaki setiap ahli Dewan Rakyat mengemukakan akuan berkanun. Surat daripada ketua parti sahaja tidak memadai.

Saya memaklumkan perkara ini kepada setiausaha eksekutif PN. Kebetulan ahli-ahli Dewan Rakyat PN telah dipanggil untuk berkumpul di Glenmarie Resort, Shah Alam.

Pesuruhjaya sumpah telah diatur untuk menyediakan surat-surat akuan berkanun untuk ditandatangani oleh ahli-ahli Dewan Rakyat PN.

Pada masa yang sama, 22 ahli Dewan Rakyat GPS, enam ahli Dewan Rakyat GRS dan seorang ahli Dewan Rakyat KDM yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri juga telah diminta untuk menandatangani surat akuan.

Selain itu, 10 ahli Dewan Rakyat BN dan 2 ahli Dewan Rakyat bebas juga turut menandatangani surat akuan secara berasingan.

Saya telah merujuk kepada speaker Dewan Rakyat mengenai kedudukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat BN kerana mereka menandatangani surat akuan tanpa kebenaran daripada parti. Beliau menjelaskan kepada saya bahawa dalam pelantikan perdana menteri, ahli Dewan Rakyat secara individu mempunyai hak di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kepercayaan kepada seorang ahli Dewan Rakyat lain untuk dilantik sebagai perdana menteri. Kebenaran parti tidak diperlukan.

Saya juga ditunjukkan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang mengesahkan bahawa tindakan seorang ahli Dewan Rakyat yang bertentangan dengan arahan parti politik tidak dianggap bertukar parti dan beliau tidak terhenti daripada menjadi ahli Dewan Rakyat.

Maka, surat akuan yang ditandatangani oleh 10 ahli Dewan Rakyat BN itu adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Pada pagi 21 November 2022, sudah terkumpul 114 akuan berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Staf ibu pejabat PN menyusun semua dokumen ini dan membuat semakan akhir di hadapan saya.

Pada pukul 1.28 petang, Setiausaha Eksekutif PN telah menghantar semua dokumen ini ke Istana Negara menerusi emel dan WhatsApp.

Berdasarkan maklumat awal yang saya terima daripada pihak Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dijangka membuat semakan dokumen-dokumen yang dihantar pada jam 2.30 petang dan jika baginda berpuas hati, majlis mengangkat sumpah perdana menteri ke-10 akan diadakan pada jam 4.00 petang hari yang sama.

Pada masa itu, saya hampir pasti Muhyiddin akan dipanggil mengadap untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia Ke-10.

Namun, lebih kurang jam 1.30 petang saya mendengar pengumuman mengenai pelanjutan tempoh masa penyerahan dokumen-dokumen tersebut ke Istana Negara sehingga jam 2.00 petang keesokannya, iaitu penangguhan selama 24 jam.

Sebelum itu, Anwar Ibrahim dan beberapa orang pimpinan PH telah pergi ke Hotel Seri Pacific di mana Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli Dewan Rakyat BN berkumpul.

Susulan pertemuan itu, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob, telah membuat kenyataan media meminta pelanjutan masa penyerahan dokumen-dokumen yang berkaitan ke Istana Negara. Perdana menteri sementara juga dilaporkan oleh media telah mengadap YDPA pada petang itu.

Selepas itu, saya mendengar khabar angin bahawa 10 ahli Dewan Rakyat BN telah diarah untuk menandatangi surat menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin. Namun, saya diberitahu mereka masih “intact” menyokong Muhyiddin.

Sekiranya mereka dipanggil mengadap oleh Agong, mereka akan menyembah maklum kepada bahawa mereka menyokong Muhyiddin.

Ini kerana mereka sedar bahawa jika mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri dan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, mereka akan ditolak oleh akar umbi Umno sendiri.

Mendengar penjelasan ini, saya percaya bahawa pada ketika itu Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti, walaupun ada khabar angin sebaliknya.

Keesokannya, PN menghantar satu lagi surat akuan ke Istana Negara menjadikan jumlah keseluruhan surat akuan 115.

Dalam perkembangan yang lain, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir menghantar pesanan WhatsApp ringkas “salam” kepada saya pada jam 12 pagi, 21 November 2022. Saya tidak membaca pesanan ini kerana mungkin telah tertidur.

Pada tengah hari 21 November 2022, setiausaha agung BN menghubungi saya memberitahu bahawa wakil-wakil BN ingin berjumpa dengan Muhyiddin dan wakil-wakil PN di Hotel Seri Pacific. Tujuannya ialah untuk mendengar apa tawaran PN kepada BN jika BN bersetuju membentuk kerajaan bersama PN. BN telah pun mendengar tawaran PH.

Saya bertanya adakah hal mengenai kes mahkamah presiden Umno akan dibincangkan. Beliau jawab tidak. Saya beritahu setiausaha agung BN yang saya akan merujuk perkara ini kepada Majlis Tertinggi PN.

Pada malam 21 November 2022, saya menerima panggilan telefon daripada setiausaha agung PAS yang menyampaikan pesanan Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya perjumpaan dengan wakil-wakil BN disegerakan. Lalu saya menghantar pesanan whatsapp kepada Muhyiddin menyampaikan pesanan Hadi. Beliau membaca mesej saya pada jam 6.30 pagi keesokannya dan membalas ringkas “boleh jumpa”.

Saya terus menghantar mesej kepada BN memaklumkan Muhyiddin sedia berjumpa pada tengah hari. Perjumpaan ini diminta diadakan di “neutral ground”. Masa yang ditetapkan ialah jam 1.00 tengahari dan kemudiannya atas sebab tertentu ditunda ke jam 3.00 petang.

Lebih kurang jam 2.30 petang, Setiausaha sulit kanan kepada Agong menghubungi saya memaklumkan Muhyiddin dititah mengadap pada jam 4.15 petang di Istana Negara. Lalu saya menghubungi BN memaklumkan pertemuan pada jam 3.00 petang terpaksa ditunda ke suatu masa lain.

Dalam sesi mengadap yang turut dihadiri oleh Hadi, Muhyiddin diberitahu bahawa beliau tidak memperolehi sokongan majoriti. Dikatakan 10 ahli Dewan Rakyat BN telah menarik balik sokongan kepada beliau. Pengerusi BN sebaliknya telah menghantar surat kepada YDPA menyatakan 30 ahli Dewan Rakyat BN menyokong Anwar sebagai PM.

Namun tiada akuan berkanun yang dikemukakan seperti yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara.

Anwar dikatakan mempunyai 86 surat akuan berkanun yang menyokong beliau menjadi perdana menteri, sementara Muhyiddin mempunyai 105 surat akuan berkanun (setelah ditolak 10 yang dikatakan telah tarik balik sokongan).

Oleh kerana terdapat keraguan, Muhyiddin mencadangkan supaya Istana Negara memanggil 10 orang ahli Dewan Rakyat BN tersebut untuk mengadap Agong bagi mengesahkan apa pendirian mereka yang sebenarnya. Ini juga kaedah yang sering diguna pakai untuk memastikan seorang calon perdana menteri mempunyai sokongan majoriti jika terdapat keraguan. Cadangan ini diperkenankan oleh Agong.

Muhyiddin kemudiannya dikemukakan dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan. Beliau menyembah maklum kepada Agong bahawa kerjasama dengan PH adalah bertentangan dengan dasar PN dan mandat pengundi. Oleh itu, beliau tidak boleh bersetuju dengan cadangan tersebut. Pendirian ini turut dipersetujui oleh Hadi.

Muhyiddin juga diberitahu bahawa Anwar juga berada di Istana Negara dan perancangannya ialah selepas itu akan diadakan perbincangan antara beliau dan DSAI. Tetapi oleh kerana Muhyiddin tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, beliau telah meminta izin dari Agong untuk beredar dari Istana Negara dan pulang ke rumah.

Sebelum beredar, Muhyiddin telah diminta menandatangani perjanjian “kerajaan perpaduan” yang antara kandungannya ialah penggiliran jawatan perdana menteri. Beliau menurunkan tanda tangan dan menyatakan tidak bersetuju.

Pada petang itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan 30 ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada jam 10 pagi keesokannya. Pada masa ini saya masih menaruh harapan bahawa Muhyiddin boleh mendapat sokongan majoriti sekiranya benar ahli-ahli Dewan Rakyat BN menyembah maklum kepada Agong bahawa mereka sebenarnya menyokong Muhyiddin.

Pada malam 22 November 2022, telah diatur pertemuan antara wakil-wakil PN dan wakil-wakil BN di Hotel St Regis Kuala Lumpur. Wakil-wakil PN yang diketuai oleh Muhyiddin telah menunggu, tetapi wakil-wakil BN tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya ada “miscommunication”.

Saya hubungi semula SUA BN pada malam itu dan dicadangkan pertemuan dengan wakil-wakil BN diadakan pada jam 10 pagi keesokannya. Saya bertanya bukankah ahli-ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada masa yang sama? Saya diberitahu BN telah memohon supaya sesi mengadap tersebut ditangguhkan.

Pada pagi keesokannya, saya dimaklumkan BN bahawa perjumpaan dengan wakil-wakil BN terpaksa ditangguhkan ke jam 3.00 petang. Ini kerana beberapa wakil BN yang terlibat dalam perbincangan dengan PN dititah mengadap Agong pada jam 10.00 pagi.

Turut dipanggil mengadap pagi itu ialah wakil-wakil GPS. Fadillah Yusof yang mewakili GPS membuat kenyataan selepas sesi mengadap tersebut bahawa GPS kekal menyokong Muhyiddin, tetapi menyerahkan kepada budi bicara Agong untuk membuat keputusan mengenai siapa yang diperkenankan oleh baginda untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam perbincangan dengan wakil-wakil BN yang diketuai oleh timbalan pengerusi BN (pengerusi BN tidak hadir) pada petang 23 November 2022, BN telah mengemukakan beberapa pernyataan hasrat berhubung cadangan kerjasama dengan PN.

Pernyataan hasrat ini berkisar tentang jawatan-jawatan di dalam kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, pelantikan senator, ahli-ahli lembaga pengarah GLC dan badan-badan berkanun serta beberapa perkara lain berhubung kerjasama dalam pilihan raya negeri.

Muhyiddin memberi respon bahawa PN secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan jawatan-jawatan tersebut dengan beberapa cadangan balas. Secara berseloroh, Muhyiddin mengingatkan mereka bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau sendiri menjemput pimpinan MCA dan MIC untuk berada di dalam kabinet, walaupun nama mereka tiada di dalam senarai. Malah, jawatan TPM dan PM juga selepas itu diberikan kepada Umno.

Perbincangan berlangsung dalam suasana yang mesra dan nampak positif.

Timbalan pengerusi BN memaklumkan bahawa beliau akan melaporkan hasil perbincangan ini dalam Mesyuarat MKT Umno pada sebelah malamnya.

Lanjutan daripada perbincangan ini, SUA PN telah menulis sepucuk surat kepada timbalan pengerusi BN menyatakan beberapa cadangan balas PN yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut untuk dipertimbangkan oleh MKT Umno dan MT BN.

Namun, pada malam 23 November 2022, SUA Umno telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai keputusan MKT Umno yang bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan tanpa PN. Ini bermakna, Umno telah membuat keputusan untuk menyertai kerajaan yang diterajui oleh PH.

Mengikut kefahaman saya, ahli Dewan Rakyat dari Umno mestilah terlebih dahulu menyokong Anwar sebagai perdana menteri, barulah “kerajaan perpaduan” yang diterajui oleh PH boleh ditubuhkan.

Saya tidak pasti sama ada mereka menandatangani apa-apa surat akuan berkanun menyokong Anwar sebagai perdana menteri seperti yang ditetapkan ke atas Muhyiddin.

Keesokannya, Majlis Raja-Raja mengadakan perbincangan di Istana Negara. Hasil perbincangan tersebut, Anwar telah diperkenankan untuk dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.

Inilah catatan peristiwa daripada pengalaman dan pengamatan saya secara peribadi yang terlibat secara langsung di pihak PN dalam proses pelantikan perdana menteri Malaysia Ke-10.

Mudah-mudahan pahat tidak lagi berbunyi. Mudah-mudahan tuduhan-tuduhan yang mengatakan Muhyiddin derhaka, sombong dan tidak mahu berunding tidak kedengaran lagi.

Mudah-mudahan Anwar dapat menjalankan tugasnya dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab menggendong amanah agama, bangsa dan negara.

Kami telah melakukan yang sehabis baik mengikut peraturan dan kehendak Perlembagaan Persekutuan dalam melengkapkan proses pelantikan perdana menteri Ke-10 sepertimana yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara.

Berbekalkan tawakkal dan sangka baik, kami reda.

Marzuki Mohamad adalah ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri dan seorang profesor madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow